Make your own free website on Tripod.com
SELAMAT TINGGAL SALAFI & WAHABI
Home | IKHWANUL MUSLIMIN & Hassan al Banna

IKHWANUL MUSLIMIN & Hassan al Banna

Al Ikhwan Al Muslimin

Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk. Pergerakan Pembebasan Wanita Mesir menjadi bertambah kuat apabila wanita kelas atasan Mesir memberontak; enggan memakai purdah. Mereka memakai fesyen Eropah, menghadiri temasya sosial yang bercampur bebas antara lelaki dan perempuan, samada secara tertutup ataupun terbuka. Mereka juga mendesak supaya wanita mempunyai hak yang setaraf dengan lelaki di dalam soal kemasukan ke Universiti. Semuanya ini berlaku di waktu Hassan Al Banna mencatitkan rasa kebimbangan beliau serta rakannya terhadap kebimbangan ini.
"Hanya Allah yang mengetahui berapa malamkah kita berbincang tentang keadaan negara dan hubungannya dengan segala lapangan hidup rakyat. Apakah kesan dari penyakit masyarakat dan bagaimana untuk menyelesaikannya ? Kami berbincang dengan penuh perasaan sehingga menitiskan airmata. Sebelum kami membuat sebarang keputusan, kami berbincang dengan panjang lebar sekali, tetapi alangkah terkejutnya kami apabila kami bandingkan keadaan ini dengan mereka yang tidak kisah kepada apa-apa, yang asyik bersenang-senang di kedai kopi."
Dalam catitan yang sama, Sheikh Hassan Al Banna mengakui bahawa keputusan menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Beliau menganggap bahawa masjid dan khatib khutbah sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah ini. Ulamak-ulamak yang ada tidak terdaya untuk menahan serangan dari Puak Modernist selain dari melabelkan mereka murtad. Yang malangnya terdapat juga manusia yang digelar 'ulamak' tetapi terlalu mudah untuk bertolak ansur dengan pemerintah dari segi prinsip agama dengan tujuan untuk memuaskan hati taghut-taghut ini. Ulamak Khahirah jatuh ke lembah yang paling menghinakan apabila mereka menyetujui fatwa yang diberi oleh Rektor Universiti al Azhar bahawa Raja Farouk adalah layak untuk memerintah dan layak digelar Khalifatul Mu'min atas alasan "beliau adalah seorang Islam dan datang dari keturunan Rasulullah S.A.W.".
Dengan tekad bersungguh-sungguh dan sedaya upayanya Sheikh Hassan al- Banna terus menubuhkan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin demi untuk menyelesaikan nasib yang malang itu. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha' lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya. Apa yang dilakukan oleh Hassan Al Banna bercita-cita untuk menubuhkan satu harakah Islam yang syumul yang akan membimbing seluruh generasi dengan prinsip-prinsip Islam yang menyentuh semua aspek hidup seperti politik, ekonomi dan sosial.
Al Ikhwanul Muslimin adalah satu harakah yang tersusun rapi dengan ahlinya yang dibahagikan kepada peringkat-peringkat tertentu. Terdapat ahli peringkat pertama, peringkat kedua, penyokong dan pekerja. Seseorang itu tidak dinaikkan peringkatnya, sebelum diberi ujian tertentu. Apabila ahli sudah dianggap aktif, mereka akan dipanggil dalam mesyuarat khas, dimana Sheikh Hassan al Banna sendiri yang menjadi ketuanya. Bagi mengendalikan ahli, mereka dibahagikan kepada nuklias, sel, usrah dan barisan. Apabila cawangan-cawangan bertambah, satu yunit pentadbiran ditubuhkan dengan ahlinya dipilih khas oleh Muktamar (General Assembly). Markas akan menerima tentang maklumat semua kegiatan ahli 10 hari sebelum Muktamar.
Di Muktamar, semua cawangan menghantar wakil masing-masing. Persetujuan Markas Pusat diperlukan untuk meluluskan satu-satu keputusan yang dipersetujui oleh Muktamar Cawangan. Markas Pusat juga berkuasa untuk meluluskan atau menahan penubuhan sesuatu cawangan atau Jawatankuasa Tadbir. Untuk melicinkan lagi operasi, Jawatankuasa Pusat menubuhkan Jawatankuasa Kecil bagi department-department tertentu seperti kebajikan masyarakat, hubungan dengan Dunia Islam dan lain-lain. Di Khahirahlah letaknya Markas Pusat. Jawatankuasa Pusat terdiri dari 100 orang Jawatankuasa Pengasas dan 12 orang penasihat, yang dilantik sendiri oleh Hassan al Banna dari Jawatankuasa Pengasas. Setiap ahli membuat bai'ah atau sumpah setia. Mereka bersumpah untuk melindungi saudara-saudara Ikhwan hatta dengan mengorbankan nyawa mereka sendiri, disamping menaruh kepercayaan dan ketaatan dengan lapang dada terhadap ketua mereka. Mereka sanggup menerima perintah walaupun bercanggah dengan kehendak mereka. Disetiap perjumpaan mereka akan memperbaharui sumpah mereka dan mengulangi "Sami'na wa Ata'na".
Hassan al Banna mengetahui dengan terperinci ahli-ahli yang aktif dan dipercayai. Mereka ini dikehendaki merekodkan aktiviti-aktiviti harian mereka termasuk penghafalan Qur'an serta kehadiran mereka pada sembahyang berjemaah. Mempelajari Al Qur'an, Hadith dan Syari'ah diwajibkan ke atas mereka. Mereka diajar menggunakan bermacam-macam senjata dan pertolongan cemas. Pada akhir pengajian mereka akan diperiksa apa yang telah mereka pelajari. Satu perjumpaan diadakan dua tahun sekali diperingkat cawangan apabila diarah oleh Hassan al Banna.
Di dalam tulisannya, Sheikh Hassan al Banna memegang teguh kepada beberapa prinsip. Pertamanya, beliau melarang keras ahlinya menjadi Ikhwanul Muslimin sebagai tempat medan percanggahan pendapat. Dalam soal ini, Hassan al Banna mengikut nasihat dari seorang Ketua Sufi di mana ia masih berada di bangku sekolah. Ketua Sufi itu telah menasihatkan muridnya supaya jangan berbalah dalam perkara-perkara yang kecil dan jangan menggunakan kalimah-kalimah orang-orang atheist, murtad dan missionari kristian di khalayak ramai.
"Buatlah perkara ini semasa kamu berbincang dan bermusyawarah sesama kamu. Di hadapan orang-orang kampung, gunakanlah perkataan yang berkesan yang dapat membimbing mereka kepada Islam".
Yang keduanya, Hassan al Banna, begitu kurang mempercayai kalangan orang-orang kaya terkenal yang ingin menyertai Ikhwan. Pada anggapan beliau, mereka berbuat demikian mungkin untuk kepentingan diri atau mencari kepentingan dunia. Di dalam penulisan beliau dan pengikutnya terdapat penekanan tentang kepentingan membentuk harakah secara beransur-ansur. Sesebuah harakah itu mestilah mendapat sokongan orang ramai yang kuat sebelum dapat menggantikan kerajaan yang ada. Massa mestilah diberi dengan cukup prinsip-prinsip perjuangan Islam. Al Ikhwan dapat menjalankan progremnya hasil dari kekuatan Iman dan prinsip-prinsip Islam yang tulin, perpaduan dan Ukhwah Islamiah di kalangan ahli-ahli harakah dan penyokong. Al Ikhwan berpendapat bahawa kekuatan hanya perlu digunakan apabila semua cara lain gagal. Di dalam ucapan dan tulisannya, Sheikh Hassan al Banna menafikan bahawa Ikhwan mahu mengadakan Revolusi bunuh membunuh atau Coup d'etat. Tidak juga ia mengatakan langkah tersebut sebagai berkesan.
Aktiviti asas bagi Al Ikhwan ialah soal pendidikan dan pembukaan sekolah-sekolah yang bermacam jenis. Berulang kali Al Ikhwan menyeru kepada Kerajaan Mesir supaya mengambil berat tentang pengajaran agama dan prinsip-prinsip akhlak yang mulia kepada generasi muda yang sedang meningkat umur di sekolah-sekolah umum. Progrem persekolahan yang dilaksanakan sepatutnya mempunyai empat matlamat :
1. Menyebarkan prinsip Agama Islam.
2. Menaikkan taraf moral yang tinggi.
3. Kemegahan terhadap tamaddun Islam.
4. Menyediakan pakar-pakar di dalam semua bidang sains untuk membantu kebangkitan Islam di Mesir.
Di dalam Kurikulum sekolah, al-Ikhwan menyeru supaya pemerintah memberi perhatian yang istimewa kepada sejarah Islam, dan Tamaddun Islam. Mereka juga medesak supaya mata pelajaran Islam diwajibkan di universiti-universiti. Guru-guru yang tidak berakhlak, tidak mnegambil berat tentang Islam serta tidak jujur dalam usaha-usaha untuk memperbaiki negara hendaklah dipecat. Sekolah-sekolah yang bercampur antara lelaki dan perempuan hendaklah diharamkan. Inilah antara contoh dan peranan aktif yang dimainkan oleh Al Ikhwan.
Di Markas Pusat, sebuah Jawatankuasa Khas mengenai penubuhan sekolah-sekolah diadakan. Sekolah-sekolah rendah, menengah, teknik yang ditubuhkan adalah lain dari sekolah-sekolah swasta serta lain dari segi penekanan prinsip Islam terhadap murid-murid. Untuk menghapuskan buta huruf, Ikhwan menubuhkan beberapa sekolah percuma untuk pekerja-pekerja dan orang-orang kampung. Pada siang hari terdapat kelas menghafal Quran sementara di malam harinya terdapat kursus-kursus untuk pemuda yang tidak berpeluang belajar pada siang hari. Kelas bimbingan bagi membantu mereka yang gagal dalam peperiksaan juga diadakan di sebelah malam. Guru-guru yang mengajar terdiri dari pelajar-pelajar universiti yang telah dilatih khas. Mereka juga membuka sekolah "Ummul Mu'minin" bagi Muslimat Ikhwan. Itulah contoh-contoh betapa beratnya perhatian yang diberikan oleh Ikhwanul Muslimin terhadap pendidikan sehingga boleh dikatakan tiada satu pun cawangan Ikhwan yang tidak mempunyai sekolah sendiri.
Dari segi kebajikan masyarakat, Ikhwan memberi bermacam-macam perkhidmatan. Mereka menubuhkan persatuan untuk meningkatkan taraf kehidupan serta memajukan kampung-kampung di Mesir. Salah seorang ahli Ikhwan al Muslimin mendirikan sebuah ladang contoh di atas tanahnya. Di kampung yang lain Ikhwan membina 4 buah kubur untuk digunakan oleh mereka yang miskin. Di tempat lain pula, Ikhwan menjamu 200 orang miskin tiap-tiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah kepada orang-orang miskin, mengadakan bekalan letrik ke kampung-kampung dan memungut derma di bulan Ramadhan. Cawangan-cawangan Ikhwan berlumba-lumba dalam memberi sedekah di bulan Ramadhan. Setengah dari ahli Ikhwan menjadi Hakim bagi menyelesaikan perselisihan-perselisihan yang berlaku di kampung-kampung. Mereka membuat bancian bagi mereka yang tidak berumah dan anak-anak yatim supaya pekerjaan yang sesuai dapat disediakan kepada mereka sejajar dengan umur mereka. Orang-orang cacat dan orang-orang sakit juga mendapat pertolongan dari segi sara hidup.
Masjid-masjid dibina di seluruh negara. Setengah kalangan mewakafkan tanah, sementara yang lain membiayai pembinaannya. Boleh dikatakan semua cawangan Ikhwan mempunyai masjidnya sendiri. Ikhwan juga mengambil berat tentang kesihatan masyarakat. Untuk mencapai matlamat tersebut untuk mendirikan hospital serta gedung-gedung ubat dikebanyakan tempat untuk merawat pesakit-pesakit. Kemuncak kejayaan Ikhwan ialah dengan terdirinya sebuah Klinik Ikhwan di Tanta di mana beribu-ribu pesakit dirawat dalam setahun.
Untuk menyebarkan prinsip perjuangan Islam, Ikhwan sangat aktif dalam bidang penerangan. Mereka menerbitkan akhbar harian dan lebih dari sedozen majallah. Di antaranya ialah majallah bulanan, Al Manar, Mingguan Al-Taaruf, Al-Shu'a, Al Nadhir, Ash-Shihah, Al Mabahith, Al Da'awah dan Al Muslimun. Akhbar Harian mereka mendapat langganan yang paling laris dari semua keluaran. Ini adalah kerana matlamat-matlamatnya :
1. Menerangkan Islam sebagai agenda dan sistem hidup yang paling bagus, disampaikan dengan cara yang paling sesuai untuk zaman moden.
2. Mematahkan serangan-serangan yang dihalakan kepada Agama Islam.
3. mendamaikan perselisihan pendapat di antara mazhab-mazhab Islam demi untuk perpaduan Ummat Islam.
Tulisan Sheikh Hassan al Banna dikeluarkan tiap-tiap hari dalam akhbar Ikhwan. Tulisannya amat bernas dengan ayat-ayat Qur'an, Hadith Rasulullah SAW dan syair-syair Arab Klasik. Antara tajuknya termasuk :
1. Progrem Ikhwan;
2. Perkembangan dan matlamat perjuangan Islam;
3. Bagaimana kita menarik manusia ke jalan Allah;
4. Menuju ke cahaya;
5. Matlamat dan prinsip kita;
6. Ke mana kita ajak manusia;
7. Harakah Kita;
8. Antara Hari ini dan Hari Esok;
9. Risalah Jihad;
10. Untuk mu Pemuda;
11. Ikhwan Muslimin di bawah Panji-panji Qur'an;
12. Tanggungjawab Muslimat; dan
13. Progrem Rohani.
Buku-buku yang ditulis oleh Ikhwan yang lain termasuk :
1. Ikhwanul Muslimin di mata dunia;
2. Palestin dan Afrika Utara;
3. Keruntuhan Tamaddun Barat Moden; dan
4. Islam terus melangkah ke hadapan.
Ikhwan juga mengeluarkan risalah-risalah dan riwayat hidup Hassan al Banna. Penerbitan ini bukan sahaja popular di Mesir malah ianya terkenal diseluruh negara-negara yang berbahasa Arab. Tidak terdapat satu pun pergerakan Islam di negara Arab di zaman moden ini yang dapat menghasilkan minat orang yang begitu kuat terhadap perjuangan Islam serta mendidik mereka dengan semangat Islam. Ini semua adalah kesan dari tulisan-tulisan yang gagah yang ditulis oleh penulis-penulis Muslimin dan Muslimat Ikhwanul Muslimin.
Daripada awal lagi, Ikhwan menerima Muslimat menyertai harakahnya. Sayap Muslimat Ikhwanul Muslimin mempunyai dasar perjuangan yang sama dengan Muslimin walaupun terdapat sedikit ubah suai untuk memenuhi sifat kewanitaan Muslimat. Penekanan yang berat diberi untuk menghasilkan individu-individu Muslimat yang mulia, berakhlak dan suci. Aktiviti Muslimat berkisar pada pendidikan dan kebajikan masyarakat berdasarkan Islam.
Di antara ciri yang menonjol bagi Harakah Ikhwanul Muslimin ialah penekanannya yang berterusan terhadap kepentingan JIHAD. Jihad yang diajar oleh Ikhwan ialah Jihad yang difahami oleh semua orang Islam iaitu Jihad yang tidak mempunyai sebarang unsur tolak ansur. Bukannya konsep JIHAD yang direka-reka oleh Puak Modernist. Ikhwan menganggap bahawa ibadat dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan Agama Islamnya. Bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari Akhirat. Al Ikhwanul Muslimin menaikkan semangat jihad dengan cara menggalakkan pemuda Islam melakukan latihan menguatkan tubuh badan untuk persediaan perang. Akhirnya mereka menubuhkan Unit tentera mereka sendiri untuk mempertahankan harakah apabila diperlukan.
Sheikh Hassan al Banna berkali-kali mengajak orang kampung supaya berjihad menumpas penjajah British dan menghalau mereka selama-lamanya dari Mesir. Beliau tidak bertolak ansur langsung dalam masalah ini dan beliau tidak mempercayai langsung pendapat dan fikiran bahawa masalah ini dapat diselesaikan melalui perbincangan dan mesyuarat yang tidak membawa ke mana-mana. Di dalam peperangan Palestin pada tahun 1948, pasukan sukarelawan Ikhwan Muslimin adalah pasukan yang paling berani berperang di pihak Arab. Apabila Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf penubuhan negara Yahudi di Palestin, Sheikh Hassan al Banna menyeru semua negara Islam meninggalkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berjihad menentang Yahudi.
Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir. Matlamat Ikhwanul Muslimin ialah untuk mendirikan masyarakat dan negara Islam di mana Syariah Islam menjadi undang-undang negara. Hassan al Banna berkata :
"Kita tidak akan berdiam diri dan bersenang hati atau berhenti selagi Qur'an benar-benar menjadi perlembagaan negara. Kita akan hidup untuk mencapai matlamat ini atau mati dalam usaha melaksanakannya".
Al Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undang-undang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah.
Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya :
"Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir".
Di dalam jawapan kepada salah seorang pemimpin politik di zamannya, beliau berkata :
"Kami mengajak kamu kepada Islam, ajaran Islam, undang-undang Islam dan petunjuk Islam. Kalau ini dianggap politik oleh kamu maka inilah politik yang kami perjuangkan".
Oleh kerana Demokrasi tulin tidak wujud di Mesir, Hassan al Banna memerintah supaya semua parti politik dibubarkan termasuk Sistem Parlimen kerana ini semua tidak menghasilkan apa-apa melainkan keruntuhan moral dan perebutan kuasa. Hassan al Banna dan pengikutnya berkeyakinan bahawa tidak ada satu pun parti politik Mesir yang wujud di zaman Raja Farouk benar-benar ingin melaksanakan undang-undang Islam atau cinta kepada Islam. Ikhwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuhkan semua parti-parti yang ada. Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.
Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membaratkan Mesir seperti yang dibuat oleh pemerintah dahulu. Masa telah membuktikan bahawa pemerintah yang baru adalah sama ganasnya terhadap pergerakan Islam seperti pemerintah yang dulu juga malah mereka lebih tamak, zalim dan gila kuasa.
Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu. Presiden Gamal Abdul Nasser pernah berkata :
"Saya telah bertemu dengan Ketua Penasihat Ikhwanul Muslimin yang telah membuat beberapa tuntutan kepada saya. Perkara pertama yang dia mahu ialah semua wanita diwajibkan menutup aurat. Dia juga mendesak supaya ditutup semua panggung wayang dan tempat pementasan. Dengan lain perkataan dia mahu supaya hidup kita gelap dan mendung. Sudah tentulah menjadi perkara mustahil untuk kita melaksanakannya".
Percubaan untuk menbunuh Presiden Gamal Abdul Nasser pada December 1954, menjadi alasan yang baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan untuk menghancurkan Ikhwan al Muslimin. Ikhwan telah dituduh melakukan penembakan itu walaupun Ikhwan berkali-kali menafikannya. Beribu-ribu anggota Ikhwan telah ditangkap, dipenjara dan 6 orang telah digantung hingga mati. Protes dari dunia Islam tidak dilayan langsung. 12 tahun selepas peristiwa itu, iaitu pada tahun 1961, al Ikhwanul Muslimin telah difitnah sekali lagi sebagai penyebab kepada kegagalan dan kemunduran negara. Akhirnya Presiden Nasser telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang penting untuk 'menghapuskan pengaruh gerakan apa yang dipanggil reaksionari Ikhwanul Muslimin'.
Beliau (Gamal Abdul Nasser) telah mencadangkan supaya kuasa ketenteraan
dan undang-undang digunakan untuk menghancurkan Harakah Islam ini. Sebahagian dari cadangan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas itu telah disiarkan dalam An-Nadwa, Mekah seperti berikut :
1. Mata Pelajaran Deeniyah (agama) mestilah dibuang terus dari sukatan pelajaran di Institusi Pengajian di seluruh negara. Semuanya itu akan digantikan dengan kurikulum baru berdasarkan prinsip sosialisma.
2. Komunis mestilah dibantu dan diberi peluang yang luas untuk menghancurkan agama supaya martabat mereka yang berugamaa di Mesir hancur. Tanggungjawab ini diberikan kepada kerajaan yang akan mengizinkan komunis menjalankan aktiviti anti agamanya dengan selantang-lantangnya. Sementara itu agama akan ditindas dari sebarang peluang untuk bergerak.
3. Selepas kita mengkaji dengan dengan mendalam tentang mereka yang tidak terikat dengan Ikhwan tetapi memainkan peranan yang sama dengan Ikhwan, kita merumuskan bahawa kedua-dua kumpulan pendakyah-pendakyah ini bersatu dari segi fikrah dan amalannya. Oleh itu kedua kumpulan ini mestilah dipisahkan dan pertalian mereka diputuskan. Kalau tidak, harinya tidak akan lama di mana mereka akan berganding bahu untuk memberontak menentang kerajaan secara terbuka. Pada masa itu kita akan susah untuk membezakan antara satu dengan yang lain. Adalah wajar kalau kita elakkan bahaya ini dengan menganggap bahawa kedua kumpulan itu adalah sama. Semua ruang untuk perkembangan mereka serta peluang bagi aktiviti intelektual dan praktikal mereka mestilah dihalang. Penyiasatan yang rapi hendaklah dijalankan bagi mengetahui berkenaan dengan perjumpaan dan hubungan mereka antara satu sama lain. Semua ahli ibadat dari sebarang agama mestilah diharamkan dari menjadi ahli sebarang organisasi. Mereka hendaklah juga diharamkan dari tempat-tempat awam, propaganda kebangsaan dan keramaian-keramaian negara.
4. Ikhwan dan simpati-simpatinya mestilah ditindas berterusan serta dipenjarakan. Semua usaha untuk menjaga keselamatan harta benda mereka hendaklah ditarik balik dan diumumkan bahawa keselamatan mereka pun tidak akan dijamin. Berbagai-bagai penyiksaan, penghinaan dan penindasan mestilah dilakukan ke atas mereka supaya mereka tidak akan merasa senang walaupun sesaat.
Akibat dari polisi ini, beribu-ribu Ikhwan termasuk Muslimat ditangkap dengan tidak ada peluang membela diri dan mereka diazab dengan penyiksaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hassan Ismail Hudaybi, seorang hakim dan ulamak terkenal yang menggantikan Hassan al Banna debagai Ketua Penasihat Ikhwan telah disiksa walaupun umurnya sudah tua dan uzur. Pada 29hb. Ogos, 1966 tiga orang pemimpin Ikhwan telah dihukum bunuh. Yang paling terkenal di antara tiga itu ialah Ash-Shaheed Sayyid Qutb yang juga seorang ulamak dan penulis terkenal di dunia Arab. Adiknya Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang terkenal. Dua orang adik perempuannya, Aminah dan Hamidah Qutb pun turut dikurung dalam penjara bertahun-tahun lamanya. Beberapa tahun dahulu. Sheikh Hassan al Banna telah meramalkan mala petaka ini dan memberi amaran kepada pengikut-pengikutnya bahawa Ikhwanul Muslimin akan dihina, ditentang, ditahan, dianiaya, disiksa dan akan dikenakan kesusahan yang amat pahit. Sementara itu beliau berjanji bahawa kemenangan di dunia dan di akhirat akan tetap bersama Ikhwan akhirnya.
Walaupun Ikhwan al Muslimin ditindas di negaranya sendiri, Ikhwan di Syria, Jordan, Lebanon dan Sudan terus bergiat dengan aktivitinya. Di Geneva, Dr. Said Ramadhan mengahwini anak perempuan Hassan al Banna dan menyibarkan prinsip perjuangan Islam di Barat dengan hebat. Beliau keluar dari Mesir apabila beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh kerajaan Mesir.
"Adalah salah kalau kita menganggap prinsip perjuangan Ikhwanul Muslimin telah mati. Penulis rencana ini telah pergi ke Mesir dan Syria serta melihat dengan mata kepalanya sendiri kesan dari harakah ini di sana. Kehilangan sementara harakah dari masyarakat kerana situasi tertentu, tidak bermakna ianya telah mati. Pergerakan berideologi tidak mati dengan cara ini. Mesejnya masih terus berkembang di semua lapangan hidup termasuk intelektual, sosial dan kebudayaan. Malah prinsip perjuangan Ikhwan subur dan menjelajahi tanah-tanah baru. Apabila sekatan yang dikenakan oleh penzalim diturunkan, Ikhwan InsyaAllah akan muncul dengan lebih gagah dan bersemangat. Inilah keadaan Ikhwan yang sebenarnya. Tetapi, apakah yang telah berlaku kepada Parti Sekular di Mesir ? Di manakah perginya Wafd Party sekarang ? Ke manakah juga perginya Sa'adist Party ? Saya harap cerdik pandai dapat pergi ke Mesir dan mengkaji sendiri keadaan di sana. Apabila berlakunya penindasan dari regim pemerintah, pergerakan manakah yang lebih gigih menghadapinya ?

Suka Duka Gerakan Islam Dunia Arab OLEH Maryam Jameelah.




ASY-SYAHID IMAM HASSAN AL BANNA
Mujaddid Kurun ke-14 H

PENGENALAN

Jatuhnya pemerintahan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924 merupakan satu tamparan hebat terhadap setiap individu Muslim yang cinta kepada agama-Nya. Sejak dari saat itu, Islam telah diinjak-injak dan dihina serendah-rendahnya. Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan sesama kuffar la’natullah sebagaimana makanan dibahagi-bahagikan, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam akhir zaman seumpama makanan yang dikerumuni oleh musuh-musuh.

Khilafah Islamiyyah telah jatuh secara rasminya pada tahun 1924, walaupun secara rohaninya memang telah runtuh jauh lebih lama sebelum itu bermula zaman Kerajaan Bani Umaiyah. Menurut Sufyan Ath Thauri, salah seorang wali Allah yang tersohor- Khalifah yang benar itu hanya ada lima: Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan Khalifah Umar Abdul Aziz. Namun tidak kita nafikan masih ada beberapa orang lagi bekas Khalifah Islam yang telah cuba mengikut cara Rasulullah saw.

Muslim yang berjuang di bawah naungan jihad telah diperangi habis-habisan, sehingga umat Islam yang tinggal hanyalah Muslim yang berkulitkan Islam- luar Islam lain di dalam. Bahkan semakin banyak pula yang luar dan dalamnya memang tidak Islam lagi, kecuali dimulut. Banyak orang menjadi Islam kerana faktor keturunan, iaitu kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Pemikiran dan budaya Barat diagung-agungkan. Al-Qur’an dan as-Sunnah dilekeh-lekehkan. Pemerintahan negara-negara Islam pula diwariskan oleh penjajah kuffar kepada anak-anak didik mereka yang telah kosong roh Islamnya dan boleh diharap untuk meneruskan dasar-dasar penjajah.

Penjajahan secara ‘direct’ telah berakhir, tetapi musuh-musuh Islam merancang sesuatu yang lebih dahsyat- iaitu penjajahan secara global, melalui PBB (Penjajahan Berhikmah & Bijaksana). Kalau dulu mereka bebas menghantar tentera mereka ke sana ke mari, kini juga mereka bebas menghantar tentera mereka ke sana ke mari. Apa bezanya? Kalau dulu mereka bebas memonopoli ekonomi negara yang dijajah, kini juga mereka masih bebas untuk memonopoli mana-mana negara yang mereka suka awalaupun tidak mereka jajah. Apa bezanya? Kalau dulu mereka bebas membentuk sistem pentadbiran sendiri di negara-negara jajahan, kini pun sistem pentadbiran mereka masih terus berjalan di negara-negara itu. Apa bezanya?
Inilah permainan yang sedang berjalan- membiarkan kita seronok melaung merdeka tetapi hakikatnya masih sama, masih dijajah seperti dulu juga.

Benar. Allah SWT telah menjanjikan menerusi lidah Rasul-Nya, akan muncul setiap 100 tahun seorang Mujaddid yang akan menghidupkan kembali ajaran-Nya dan menyalakan kembali api perjuangan para Nabi dan Rasul serta para Sahabat. Antara ciri-ciri seorang mujaddid ialah perjuangannya amat berlainan dengan taifah-taifah yang sezaman dengannya, dia membawa minda perjuangan Islam yang baru- yang belum pernah ada sebelum itu, perjuangannya zahir di awal kurun Hijrah, perjuangannya merebak begitu cepat ke seluruh pelusuk dunia Islam, mendapat tentangan yang hebat pada mulanya walaupun dari dalam dunia Islam sendiri, dibantu dengan karamah dan lain-lain.
Ternyata umat Islam tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kebangkitan para pemuda-pemudi Islam yang menggelarkan diri mereka Ikhwanul Muslimin, dipimpin oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna (masyhur dengan susunan Ma’thurat yang disusun oleh beliau) pada tahun 1928 di Mesir.

Al-Banna telah menyediakan satu asas Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah) yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan Rasulullah SAW, yang kini menjadi contoh kepada Gerakan Islam hampir di 70 negara di seluruh dunia pada hari ini. Meskipun umat Islam hari ini dipisah-pisahkan oleh sempadan negara akibat daripada semangat nasionalisme yang ditiup-tiupkan oleh penjajah kuffar, namun Gerakan Islam tetap mara dan utuh di setiap negara Islam dalam mendepani cabaran dan tekanan pemerintah dari segenap sudut. Hanya nama yang memisahkan antara satu Gerakan Islam dengan Gerakan Islam yang lain.

Al-Banna merupakan seorang mujaddid, pejuang, penda’wah, murabbi dan pemimpin yang akhirnya menemui syahid di jalan Allah… Kini dunia Islam hanya menunggu munculnya mujaddid baru abad ke-15 Hijrah, yang diharapkan mempunyai semangat Salahuddin al-Ayyubi, bagi memimpin umat Islam mendapatkan kembali kota suci Baitul Muqaddis, yang kini dikuasai Yahudi la’natullah. Yang mempunyai jiwa Muhammad Al Fateh, yang memiliki peribadi Nabi, yang berwatak Rasul, yang berminda Al Ghazali, yang setertib Umar Abdul Aziz.

LATAR BELAKANG

Al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di Mahmudiah, dekat Iskandariah, Mesir. Ayahnya, Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Banna, merupakan lulusan Azhar yang bekerja sebagai tukang jam, juga seorang imam dan guru al-Qur’an di masjid serta telah menghasilkan beberapa buku berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai anak sulung, al-Banna telah dididik dengan suasana keIslaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya.

PENDIDIKAN AWAL

Semasa al-Banna kecil, beliau telah diharapkan oleh ayahnya agar menjadi seorang hafiz al-Quran. Al-Banna telah dihantar kepada seorang guru bernama Syaikh Muhammad Zahran yang mempunyai ilmu yang luas dan dalam, bertaqwa serta sangat berwibawa. Cara didikan Syeikh Zahran adalah sangat keras, sehinggakan para pelajarnya, termasuk al-Banna yang masih kecil merasa terbeban dengan hafalan, membaca dan menelaah kitab-kitab, yang faedahnya hanya dapat dirasakan oleh al-Banna setelah beliau dewasa.

Setelah Syeikh Zahran semakin sibuk dengan da’wahnya, sehingga tiada kesempatan untuk terus menjadi guru di sekolah ad-Diniyah ar-Rasyad, ayah al-Banna memindahkan al-Banna ke Madrasah Idadiyah, sambil tetap menyuruh al-Banna menghafal al-Quran di rumah. Pada ketika itu, al-Banna sudah pun menghafal separuh al-Quran.

Minat dan keaktifan Hasan Al-Banna dalam berorganisasi sudah kelihatan sejak dia belajar di madrasah tersebut. Di madrasah itu, al-Banna membentuk organisasi Persatuan Akhlak Mulia (PAM), atas cadangan salah seorang gurunya, yang bertujuan untuk menegakkan akhlak mulia di lingkungan madrasah. Undang-undang pun dibuat oleh mereka sendiri, seperti siapa yang memaki saudaranya didenda 1 millim (mata wang terkecil Mesir), yang memaki ayahnya didenda 2 millim, memaki ibunya, mencela agama, bertengkar, dan sebagainya. Semua yang bertentangan dengan akhlaq mulia, dikenakan denda. Denda akan dilipatgandakan, sekiranya yang melanggar adalah anggota pimpinan organisasi, yang diketuai oleh al-Banna. Wang hasil denda dimanfaatkan untuk kegiatan sosial.

Tidak puas dengan pertubuhan yang hanya mengendalikan pelajar, al-Banna dan teman-temannya membuat organisasi asosiasi keislaman dengan nama Gerakan Anti Maksiat (GAM) untuk memberi teguran melalui surat kepada sesiapa sahaja yang melakukan maksiat. Masing-masing anggota organisasi mengawasi anggota masyarakat, yang terdiri daripada masyarakat biasa, pedagang, hingga syaikh-syaikh (ulama) sekalipun. Bila ada seseorang yang melakukan kesalahan/dosa (perbuatan yg bertentangan dengan syariat Islam) akan dikirimkan surat peringatan, yang dihantarkan secara diam-diam oleh anggota GAM. Tetapi aktiviti rahsia GAM terbongkar oleh seorang pemilik kafe, yang berjaya menangkap pembawa surat teguran yang berisi peringatan atas kesalahan pemilik kafe yang membawa penari wanita di kafenya.

Ketika berusia 13 tahun, Hasan Al-Banna melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Muallimin al-Awwaliyah di Damanhur walaupun sebenarnya dia belum memenuhi syarat umur minimum 14 tahun. Hafalan al-Qurannya pun belum 100%, tetapi karena mudir madrasahnya melihat kecerdasan al-Banna, beliau memberi pengecualian.

Sejak usia muda ini, Hasan Al-Banna mulai tertarik dengan gerakan sufi yang saat itu marak di Mesir. Selain mengikuti zikir tasawuf, Hasan Al-Banna pun aktif ikut halaqah yang diadakan oleh syeikh-syeikh pemimpin sufi, terutamanya syeikh-syeikh dari tarikat Hashofiyah. Beliau sangat mengagumi tokoh utama dari tariqat ini, yaitu Syeikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syeikh Hasanain al-Hashafi. Penglibatan al-Banna dalam aktiviti kesufian inilah yang telah membuatkan beliau menyedari betapa perlunya pemupukan sahsiah dan akhlak individu untuk menjadi prasyarat kepada proses pengIslaman masyarakat. Kata Imam Al Ghazali: Tarbiyyah sufi adalah tarbiyyah tertinggi. Dari sini jugalah beliau sedar betapa pentingnya untuk para pejuang mempunyai aurad (himpunan wirid-wirid yang biasa diamalakan oleh para sufi) sendiri yang dapat diamalkan setiap hari. Maka tersusunlah al-Ma’thurat .

Sekalipun Hasan Al-Banna ditarbiyyah secara sufi, namun beliau tetap tidak menyetujui cara hidup sebahagian orang-orang sufi yang berlebihan-lebihan dalam soal ibadah sahaja dan meninggalkan lapangan perjuangan Rasulullah yang syumul. Contohnya: beruzlah (mengasingkan diri) berlebih-lebihan ataupun yang hidup matinya hanya untuk untuk memperolehi kenikmatan beribadah secara peribadi sahaja. Ini sedikit-sebanyak menjadikan perjuangan mereka seakan-akan cara hidup penganut agama Hindu, Buddha dan Kristian. Hassan Al-Banna berpendapat bahwa uzlah memang penting dan perlu tetapi janganlah berlebih-lebihan hingga mengabaikan cabang-cabang perjuangan lain yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.

Al-Banna bukan sahaja hafiz al-Quran, malah menghafal 18.000 bait puisi Arab dan juga ribuan matan hadis.

BELAJAR DI KAHERAH DAN KESEDARAN REFORMASI

Pada 1923, pada usia 16, al-Banna telah memasuki Fakulti Darul ‘Ulum, Azhar yang masyhur di Kaherah. Di Azhar, bila teman-temannya memakai pakaian Mesir (topi khas yg bernama tharbus), al-Banna memakai serban, karena ingin mencontohi Rasulullah SAW.

Selama 4 tahun di Kaherah, beliau telah terdedah kepada hiruk pikuk politik di Kaherah pada awal 1920an, dan meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan fahaman sekular dan Barat yang telah menembusi masyarakat Islam, hingga ke akar umbi. Inilah yang menyebabkan al-Banna begitu tersentuh dengan keadaan pemuda-pemudi Islam yang hanyut dari ajaran Islam. Al-Banna meyakini perang untuk memenangi hati dan pemikiran pemuda-pemudi adalah begitu penting untuk menyelamatkan Islam daripada serangan hebat Barat.

Semasa belajar di Kaherah, al-Banna menyelami hasil penulisan reformis Islam yang awal, termasuklah Muhammad ‘Abduh (1849-1905), yang merupakan guru ayahnya semasa di Azhar. Tetapi yang banyak mempengaruhi pemikiran al-Banna merupakan murid ‘Abduh, iaitu Rashid Rida (1965-1935). Al-Banna merupakan pembaca tetap al-Manar, majalah yang diterbitkan oleh Rida di Kaherah dari 1898 hinggalah kematiannya pada 1935. Al-Banna berkongsi pendapat dengan Rida mengenai merosotnya tamadun Islam berbanding dengan Barat. Al-Banna juga percaya bahawa fenomena ini hanya boleh diterbalikkan dengan hanya kembali kepada ajaran Islam yang sejati, bebas daripada segala kekotoran yang melemahkan kekuatan mesej Islam yang sebenar.

MENGAJAR DI ISMA'ILIYYAH

Selepas tamat belajar di Darul ‘Ulum pada 1927, berusia 21, al-Banna telah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyyah. Pada masa itu, Isma’iliyyah merupakan pusat pemerintahan Canal Zone dan menjadi ibu pejabat Suez Canal Company (SCC). Ia menempatkan kem tentera dan kediaman bagi pekerja Barat yang mana menjadikan pekerja dan penduduk Mesir di situ sebagai kelas kedua, iaitu menjadi buruh kasar di perusahaan-perusahaan Eropah itu. Kehidupan agama Islam yang dianut penduduk Ismailia pun terumbang-ambing dalam pertentangan khilafiah antara pelbagai kelompok tasawuf.

Tugas al-Banna yang pertama ialah meningkat kesedaran dan penyatuan aqidah di kalangan masyarakat Ismai’iliyyah. Al-Banna melihat kehadiran kuffar ke Isma’iliyyah sebagai pendudukan
tentera, pengeksploitasian ekonomi, pencemaran budaya dan kehilangan maruah. Ini meningkatkan semangatnya untuk mengusir British daripada Mesir, dan umumnya, pengaruh Barat.

Daripada saat al-Banna tiba di Isma’iliyyah, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti masyarakat. Al-Banna berusaha untuk merapatkan diri dengan orang-orang penting di bandar tersebut sambil bergaul mesra dengan seberapa banyak masyarakat umum yang boleh. Al-Banna mengadakan kelas malam untuk ibubapa pelajar dan mengadakan perbincangan yang tidak formal di masjid, kedai kopi, kelab dan rumah persendirian. Mesej asasnya ialah Mesir telah kehilangan rohnya, ia telah menjadi orang bawahan dari segi politiknya dan ekonomi yang terlalu bergantung pada orang lain, akibat daripada melencong dari jalan yang ditentukan oleh Tuhan. Ubat bagi merosotnya kekuatan negara dan masyarakat hanyalah dengan penekanan kepada Islam sebagai cara hidup.

Salah satu kelainan yang dilakukan oleh aa-Banna ialah beliau memulai dakwahnya bukan di masjid kerana takut disalahertikan oleh masyarakat Isma’iliyyah sebagai gerakan tasawuf baru, tetapi di kedai kopi! Mengapa ia memilih kedai kopi? Alasan al-Banna kepada ikhwannya yang kurang setuju dengan cara yang ditempuhnya itu adalah : di kedai kopi, orang-orang sedang rileks dari kesibukan hariannya, mereka fresh untuk mendengar nasihat orang lain, sehingga sangat sesuai kalau berdakwah kepada mereka di saat yang sangat tepat itu. Pada permulaannya, sudah pasti pemilik kafe merasa terganggu, para pengunjung kedai kopi pun merasa hairan. Tetapi oleh kerana al-Banna menyampaikan dakwahnya tidak pernah melebihi 15 menit, pada hari-hari berikutnya para pemilik kafe meminta al-Banna supaya datang lagi, memberikan siraman rohani kepada para pengunjung kedai. Dalam 1 hari, tak kurang dari 10 kedai dikunjungi al-Banna secara bergilir-gilir, padahal jarak antara kedai adalah berjauhan.

LAHIRNYA IKHWANUL MUSLIMIN

Pada Mac 1928, ada 6 ikhwan - yang mendapat pengaruh dari ceramah-ceramah al-Banna yg bermula di kedai kopi, yang kemudian dibawa ke musholla untuk dibimbing secara intensif - mengunjungi al-Banna, mengutarakan kesedihan hati mereka melihat perlaksanaan syari’at Islam di sekitar mereka. Bahkan mereka merasa sudah bosan melihat umat Islam terhina dan terbelenggu oleh penjajah Eropah. Al-Banna tersentuh jiwanya, dan akhirnya terjadi bai'at antara mereka bahawa mereka akan hidup bersaudara, beramal untuk Islam dan akan berjihad di jalan Islam.

"Apa nama kumpulan kita ini?" tanya salah seorang di antara 6 orang ikhwan tersebut.
Al-Banna menjawab: "Kita adalah saudara-saudara kandung yang berkhidmat kepada Islam. Jadi, kita ini adalah IKHWANUL MUSLIMIN (yang erti sebenarnya: saudara-saudara sesama muslim)."

Itulah sejarah terbentuknya Ikhwanul Muslimin, yang lahir tanpa perencanaan. Ikhwan pada mulanya bertujuan untuk meningkat sahsiah individu dan terlibat dalam aktiviti kebajikan.

Setelah itu, al-Banna mendirikan Darul Ikhwan, dari wang yang mereka kumpulkan sendiri, iaitu dari gaji mereka yang sangat sedikit untuk ukuran saat itu. Bahkan ada salah seorang ikhwan yang harus menjual motosikalnya, karena komitmennya untuk pembangunan itu. Ikhwan yang dimaksud bernama Ali Abul A’la, yang biasanya selalu tiba tepat waktunya di setiap liqo’ (pertemuan), tetapi suatu ketika terlambat setengah jam. Al-Banna tertanya-tanya, mengapa Ali sampai terlambat? Tentunya akhi Ali tidak mau berterus terang, tetapi setelah didesak, dia mengaku bahwa dia telah menjual motosikalnya di pasar untuk memenuhi matlamat pembangunan Darul Ikhwan. Sedangkan jarak pasar dan tempat liqa’ (pertemuan) cukuplah jauh. Demikianlah, dari Darul Ikhwan, dibangunkan masjid. Di sekitar masjid, didirikan madrasah untuk ikhwan, kemudian untuk akhawat

Ikhwan, sejak pada waktu itu, mula menyebarkan prinsip Islam, bahawa Islam itu merupakan “pegangan dan negara, perlembagaan dan perjuangan, serta satu cara hidup”. Prinsip ini merupakan asing bagi kebanyakan cendekiawan muslim pada masa itu, yang percaya Islam hanya terbatas kepada dinding-dinding masjid sahaja. Al-Banna menyeru kepada penolakan semua fahaman Barat, menekankan agar kembali kepada asas dan ajaran Islam sebenar. Melalui Ikhwan, al-Banna telah melakukan yang lebih baik daripada pemikir-pemikir lain pada masa itu.

Al-Banna berikhtiar untuk membawa perubahan yang beliau harapkan melalui pembinaan institusi dan aktiviti berterusan di peringkat akar umbi. Dalam usaha menempatkan Ikhwan dalam masyarakat, al-Banna memanfaatkan sepenuhnya social network yang telah wujud, terutamanya yang terbina di antara masjid dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain yang berorientasikan kebajikan. Hubungan yang rapat ini telah diadaptasikan hingga menjadi satu struktur moden, yang menyumbang kepada kejayaan al-Banna. Diletakkan secara langsung di bawah organisasi Ikhwan ialah perniagaan, klinik dan sekolah-sekolah.
Selain itu, setiap ahli digabungkan ke dalam organisasi melalui unit-unit kecil yang dipanggil usrah (keluarga).

PERKEMBANGAN IKHWANUL MUSLIMIN

Pada tahun 1933, di atas kemahuannya sendiri, al-Banna dipindahkan ke Kaherah, di mana beliau turut memindahkan pusat gerakannya. Sejak dari saat itu, Ikhwan telah berkembang dengan pesat dan Kaherah menjadi pusat da’wah. Faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan mendadak ini ialah organisasi dan ideologi kepimpinan yang diterapkan oleh al-Banna.

Pada 1934, Ikhwan telah membuka lebih daripada 50 cawangan di Mesir. Pada hujung 1930an, Ikhwan telah mempunyai cawangan di setiap daerah di Mesir. Ikhwan menubuhkan banyak sekolah, masjid dan kilang. Beliau menerbitkan akhbar harian di Kaherah yang diberi nama “al-Ikhwan al-Muslimoon” yang membolehkan beliau berda’wah dengan lebih meluas, berbanding dengan syarahan.

Selepas 1938, Ikhwan mula menampakkan menampakkan luarannya yang bercorak politik. Ikhwan menggesa ke arah dunia Islam yang sejati dan menolak Barat dan sekular. Ikhwanul Muslimin melihat pemikiran sebeginilah yang merosakkan asas masyarakat Islam di era moden, dan menganjurkan kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada masalah dan penyakit masyarakat Islam.

Pada akhir perang dunia kedua, Ikhwan telah mempunyai 500 000 ahli yang aktif dan lebih kurang 2 kali ganda penyokong (ada sumber yang mengatakan 3 juta). Akitiviti Ikhwan mula melampaui sempadan antarabangsa. Ikhwan turut berkembang dengan pesat di Jordan, Syria, Palestin, Lubnan dan Afrika Utara. Pada awal 1950an, cawangan Ikhwan telah ditubuhkan di Syria, Sudan dan Jordan. Antara 1942-45, al-Banna banyak melawat Jordan bagi mengembangkan sayap Ikhwan di sana. Lebih daripada 2000 cawangan ditubuhkan secara keseluruhannya dan 50 di Sudan. Kemudian, pengaruh Ikhwan telah dirasai di merata tempat di dunia, di Teluk dan negara bukan Arab seperti Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.

Dalam usia yang begitu muda, al-Banna telah muncul sebagai pemimpin besar, selaku Mursyidul Am Ikhwan yang pertama. Antara yang berada di bawah pimpinannya ialah tokoh-tokoh hebat seperti Syeikh Amien Al-Husaini (Mufti Palestin), Syeikh Dr Mustafa As-Siba'i (ahli hukum, intelektual dan tokoh pejuang Palestin), Syeikh Muhammad Al-Faraghy (patriot besar yang hanya mahu meninggalkan Iskandariah bila al-Banna yang menyuruhnya, bukannya British dengan segala kekuatan tenteranya).

Peningkatan yang mendadak ini mula menarik perhatian British dan anak didik mereka, iaitu ahli-ahli politik Mesir ketika itu. Mereka mendesak al-Banna untuk tidak meneruskan gerakannya, namun beliau tetap pada kedudukannya. Bahkan Richard Michael, agen CIA di Kedutaan AS di Kaherah, Mesir tampak ketakutan ketika Sirah Nabawiyah yang diajarkan al-Banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda muslim.

British pernah menjemput al-Banna ke kedutaan mereka untuk jamuah teh. Beliau telah dipuji di atas personaliti dan karektornya yang baik, serta kerja-kerja kebajikan kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan janda telah diberikan tepukan yang gemuruh. British mengadakan dunia adalah terlalu fragile dan Mesir hendaklah dibina ke arah modenisasi dan kemakmuran. British membayangkan bahawa Ikhwan perlu mendapatkan pertolongan daripada British untuk terus maju.

Al-Banna mendengar dengan sabar, dan kemudian dengan berani dan tegas memberitahu duta British bahawa Mesir dan kesemua harta kekayaannya adalah milik rakyat Mesir dan masa untuk British di Mesir sudah berada di penghujung.

JIHAD DI PALESTIN

Apabila tragedi Palestin berlaku pada 1946, angkatan Ikhwan merupakan antara bala tentera yang aktif. Dengan semangat jihad dan cintakan syahid, angkatan Ikhwan yang serba kekurangan adalah lebih digeruni oleh bala tentera Yahudi la’natullah, berbanding tentera-tentera kerajaan Mesir, Syria dan Jordan yang cukup lengkap dengan peralatan dan latihan, tetapi kosong roh Islam dan tiada pergantungan kepada Allah. Ini adalah bukti bahawa di sana adanya pertolongan Allah yang tidak tertakluk kepada logik akal, dan juga bukti bahawa Ikhwanul Muslimin adalah Gerakan Islam yang benar dan begitu jugalah Gerakan-Gerakan Islam lainnya yang mengikuti jejak langkah Ikhwanul Muslimin.

Angkatan jihad Ikhwan telah pun berjaya sampai ke pintu masuk Tel Aviv dan hampir mampu menguasainya, namun dinafikan oleh pengkhianatan oleh pemerintah-pemerintah Arab pada masa itu. Ini disebabkan mereka bimbang sekiranya Ikhwan mendapat kemenangan, pengaruh dan sokongan terhadap Ikhwan pasti akan bertambah dan sukar untuk disekat.

Untuk itu, Raja Faruk telah memenjarakan ramai ahli-ahli Ikhwan. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Noqrashi Pasha telah mengharamkan Ikhwan. Tidak lama kemudian, Perdana Menteri Mesir itu telah dibunuh dan kejadian itu dikaitkan pula dengan Ikhwan. Beberapa bulan berikutnya, segala aset Ikhwan telah dirampas dan beribu-ribu pemuda-pemudi Ikhwan telah ditangkap dan dipenjara.

Pada 1948, al-Banna secara lantang mengatakan bahawa kerajaan Mesir bertanggungjawab di atas kelemahan dan kekalahan tentera Arab dalam Perang Palestin I melawan Yahudi. Akhirnya, al-Banna telah diusir ke bahagian utara Mesir pada tahun 1948.

SYAHIDNYA SEORANG PEJUANG

Akhirnya, satu komplot telah dirancang oleh kerajaan Mesir dan British dan dilaksanakan oleh anjing-anjing mereka untuk membunuh al-Banna. Pada 12 Februari 1949, pada hari yang cerah di sebuah pasar di Kaherah, al-Banna telah ditembak oleh agen kerajaan di hadapan bangunan Persatuan Pemuda Islam. Selepas beliau dibawa ke hospital, beliau telah dibiarkan terlantar di atas lantai dengan darah yang masih mengalir tanpa adanya bantuan dari sesiapa pun untuk menyelamatkan beliau. Dua jam selepas beliau ditembak, beliau meninggal dunia menuju Ilahi. Tiada seorang pun telah dibawa ke muka pengadilan di atas kejadian tersebut.

Al-Banna hanya berusia 43 tahun pada ketika itu. Anak perempuan bongsunya juga dilahirkan pada hari yang sama. Ibunya telah menamakannya ‘Ishtisyhad’ iaitu kesyahidan (martyrdom).

Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Allah SWT tidak membiarkan perjuangan al-Banna berkubur begitu sahaja lantaran umur dunianya yang begitu singkat. Benih-benih Islam dan kader-kader pejuang hasil tarbiyyah al-Banna tanpa penat lelah telah meneruskan perjuangan al-Banna. Al-Banna sendiri lebih suka “mengumpul orang daripada mengumpulkan maklumat ke dalam buku”, dan dengan itu beliau telah membina organisasi Ikhwan dan menyediakan panduan-panduan bagi membolehkan Ikhwan tetap hidup, walaupun tanpa kehadirannya. Hanya sedikit penulisan-penulisan yang dihasilkannya kerana kebanyakkan masanya dihabiskan untuk pentarbiyyahan. Antara bukunya yang terpenting ialah “Warkah Kepada Pelajar Muslim”, di mana al-Banna menerangkan prinsip-prinsip Gerakan Islam.

SUMBER KEKUATAN DAN SIKAP AL-BANNA

Antara sumber kekuatan al-Banna ialah semangat untuk berdakwah yang luar biasa, yakin dan puas dengan berdakwah, memberikan dedikasi tertinggi dalam dakwah dengan segala kemampuan dan instrumen yang dimiliki. Semua ini merupakan syarat pokok dan karakter fundamental bagi da'i dan pemimpin. Di tangan mereka inilah Allah mengalirkan kebaikan yang sangat banyak.

Kedua, pengaruh yang sangat dalam terhadap sahabat dan murid-muridnya, serta kejayaan yang cemerlang dalam tarbiyyah dan kaderisasi. Beliau pembangun generasi, pentarbiyah bangsa, pemangku madrasah yang sarat dengan ilmiah, fikriyah dan khuluqiyah. Beliau menjadi simbol dan karakter yang senantiasa hidup, bila dan dimana pun kadernya berada.

Ketiga, hubungan yang rapat dengan Allah SWT. Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Umar at-Tilmisani, pengikut al-Banna yang akhirnya menjadi Mursyidul Am Ketiga Ikhwanul Muslimun.
“Pada waktu itu kami sedang melakukan pertemuan di luar kota. Selesai kerja-kerja tersebut kira-kira pukul 12 malam. Kami semua sangat lelah kerana semangat dan kesungguhan kami dalam kerja. Kebetulan kami mendapat bilik yang sama (al-Banna dan Umar at-Tilmissani satu bilik). Saya sudah sangat penat sekali, dan ingin terus tidur, agar esok tidak terlambat bangun solat subuh. Kami berbaring di tempat tidur masing-masing. Tidak beberapa lama beliau memanggilku, "Umar, sudah tidur ?". Aku jawab, "Labbaika, belum Mursyid.". Beliau tidak berkata apa-apa lagi. Tak beberapa lama kemudian, beliau bertanya lagi hal yang sama, "Umar, kamu sudah tidur ?". Aku jawab, "Labbaika, belum Mursyid".

Aku dalam hati bertanya-tanya mengapa beliau melakukan hal ini. Lama beliau terdiam, tiba-tiba beliau memanggil lagi. Karena aku sudah sangat penat, akhirnya aku tidak menjawab, biar disangka beliau aku sudah tidur lelap. Aku sudah sangat penat sekali. Mengira aku sudah tidur, tiba-tiba beliau bangun perlahan-lahan, berjalan sambil memegang kasutnya, menuju bilik mandi. Di dalam blik mandi kudengar beliau dengan sangat hati-hati berwudhu', agar percikan airnya jangan sampai membangunkanku. Kemudian kulihat beliau mengambil tempat di sudut bilik, menghadap kiblat, dan beliau pun solat malam (qiyamullail) beberapa rakaat. Subhanallah. Begitulah ajaran beliau yang sangat melekat di hatiku.”

Keempat, mengelakkan masalah khilafiyyah yang hanya menyeret kepada perpecahan, terutamanya yang melibatkan soal sesat-menyesat, bidaah-membidaah, kafir-mengkafir, syirik-mensyirik, khurafat-mengkhurafat dan sebagainya. Sebagaimana diceritakan sendiri oleh al-Banna,

“Pada suatu malam saya rasakan ada suatu semangat yang aneh di dada peserta pengajian, iaitu semangat pertentangan. Saya lihat para peserta pengajian duduk berkelompok-kelompok. Belum sempat pun pengajian bermula, tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu pertanyaan, "Bagaimana pendapat Ustaz mengenai tawassul?"

Saya katakan kepadanya, "Wahai akhi, saya yakin yang engkau bukan hendak bertanya tentang ini saja, kan? Engkau juga ingin bertanya tentang membaca salawat dan salam kepada Nabi sesudah azan, tentang amalan membaca surah al-Kahfi pada malam Juma'at, tentang mengucapkan perkataan sayyidina untuk Rasulullah SAW sewaktu tahiyyat, tentang nasib kedua-dua orang ibu bapa Rasulullah di akhirat nanti sama ada ditempatkan di syurga ataupun di neraka, tentang bacaan Al-Qur'an, apakah pahalanya sampai kepada mayat atau tidak, juga tentang halaqoh-halaqoh yang diadakan oleh ahli tariqat, apakah hal itu merupakan bentuk kemaksiatankah ataupun taqarrub kepada Allah." Saya sengaja mengungkapkan kepada mereka tentang berbagai-bagai masalah khilafiyah yang menyebabkan fitnah dan perselisihan keras di antara mereka. Ia pun hairan terhadap apa yang baru saya kemukakan. Dia menjawab, "Ya, benar. Saya memang ingin jawapan mengenai itu semua."

Saya katakan kepadanya, "Wahai Akhi, saya ini bukan ulama. Saya hanyalah seorang guru biasa yang hafal sebahagian daripada ayat-ayat Al-Qur'an, sebahagian hadis Nabi, serta sebahagian dari hukum-hukum agama yang kubaca dalam beberapa kitab, lalu saya berupaya mengajarkannya kepada orang lain. Jika engkau membawa perbincangan kita keluar daripada ruang lingkup ilmu yang saya miliki itu, ertinya engkau telah membuatkan saya berhadapan dengan kesulitan. Siapa yang menjawab tidak tahu, sebenarnya ia telah berfatwa.”

“Oleh itu, jika engkau suka apa yang saya ajarkan dan engkau dapat apa-apa manfaat daripadanya, itulah yang saya inginkan dan silalah dengar. Namun jika engkau menginginkan jawapan dan pengetahuan yang lebih dalam, maka rujuklah kepada orang lain. Tanyakan kepada para ulama yang ahli. Merekalah yang mampu memberikan fatwa kepadamu mengenai apa yang engkau inginkan itu. Adapun saya, hanya setakat inilah ilmu yang saya ada. Sesungguhnya Allah tidak membebankan seorang hamba itu lebih daripada kemampuannya."

Saya sengaja mengambil cara seperti ini untuk memudahkan sahaja, sekalipun sebenarnya saya tahu bahawa si penanya itu tidak memperolehi suatu jawapan. Para hadirin, atau paling tidak sebahagian besar dari mereka, merasa lega dengan penyelesaian seperti ini. Namun saya juga tidak ingin kehilangan kesempatan.

Karena itulah saya katakan kepada mereka, "Wahai ikhwan sekalian, saya sebenarnya tahu benar bahawa di sebalik pertanyaan saudara penanya tadi, dan banyak daripada kalian, hanya ingin mengetahui tentang guru kalian yang baru ini (al-Banna); termasuk kelompok yang mana? Apakah saya masuk dalam kelompok Syeikh Musa ataukah kelompok Syeikh Sami? (2 golongan Islam yang besar pada waktu itu).

“Pengetahuan kalian tentang hal ini sama sekali tidak akan membawa manfaat bagi kalian. Masalah-masalah seperti ini sebenarnya telah diperselisihkan oleh kaum muslimin selama ratusan tahun lamanya dan mereka masih terus berselisih. Meskipun demikian, Allah SWT tetap redha apabila kita saling mencintai dan saling menjalin perpaduan. Allah SWT benci apabila kita berselisih dan berpecah belah.”

“Oleh karena itu, saya berharap agar kamu semua berjanji kepada Allah untuk dapat meninggalkan persoalan-persoalan seperti ini mulai sekarang. Lalu kita bersungguh-sungguh untuk bersama-sama mempelajari dasar-dasar agama dan kaedah-kaedahnya, mengamalkan ajaran-ajaran agama secara umum dan yang kita sepakati bersama, serta kita amalkan kewajipan-kewajipan dan sunnah-sunnahnya sekaligus. Kita tinggalkan sikap takalluf (mengada-ada) dan ta'ammuq (terlalu dalam menyelami persoalan) agar jiwa kita dapat jernih. Tujuan kita hanyalah untuk mengetahui kebenaran, bukan sekadar memenangkan suatu pendapat. Kalau sudah begitu, kita semua secara bersama-sama berupaya mempelajari pelbagai persoalan ini dalam naungan rasa cinta, saling percaya, persatuan, dan keikhlasan. Saya berharap agar kalian dapat menerima pendapatku ini dan agar hal ini menjadi suatu janji di antara kita.”

Saya bertanya kepada mereka, "Siapa di antara kalian yang bermazhab Hanafi, ke mari!" Salah seorang dari mereka maju. Saya bertanya lagi, "Siapa di anatara kalian yang bermazhab Syafi'i?" Salah seorang dari mereka maju. Saya katakan kepada mereka, "Saya akan solat sebagai imam bagi kedua akhi kita ini. Apa yang akan engkau lakukan tatkala saya sedang membaca al-Fatihah, wahai akhi yang bermazhab Hanafi ?" "Saya akan diam saja dan tidak membaca apa-apa!” jawabnya. "Akhi yang bermazhab Syafi'i, apa yang engkau lakukan?” tanyaku. Ia menjawab, "Saya akan membaca al-Fatihah!" Saya bertanya lagi, "Jika kita telah selesai menunaikan solat, bagaimana pendapatmu, wahai akhi yang bermazhab Syafi'i, tentang shalat saudaramu yang bermazhab Hanafi ini?" Ia menjawab, "Solatnya batal, karena tidak membaca al-Fatihah, karena al-Fatihah merupakan salah satu rukun solat!”

Saya lantas bertanya kepada yang lain, "Lalu bagaimana pendapatmu, wahai akhi yang bermazhab Hanafi, tentang solat saudaramu yang bermazhab Syafi'i ini?" Ia menjawab, "Ia telah melakukan tindakan makruh yang bersifat haram (makruh tahrim)!" Saya bertanya lagi, "Apakah salah seorang daripada kamu menyalahkan seorang yang lain?" Keduanya menjawab, "Tidak!"

Saya bertanya pula kepada hadirin, "Apakah kamu semua berani mengatakan yang salah satu dari kedua akhi kalian ini salah?" Mereka menjawab, "Tidak!"

Maka saya pun berkata, "Subhanallah. Kamu semua mendiamkan diri dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam hal ini sedangkan ia berkaitan dengan sah atau batalnya solat (iaitu perkara pokok dalam agama Islam). Mengapa kamu tidak dapat bertolak-ansur kepada orang yang membaca tahiyyat disertakan selawat “Allahummasolli ‘ala Muhammad’ ataupun yang membaca ‘Allahummasolli ‘ala Saiyidina Muhammad’?

Dari sini fahamlah kita bahawa Hassan al-Banna mahu umat Islam agar saling bertolak-ansur dalam masalah-masalah khilaf seperti kata sayyidina untuk Rasulullah SAW dalam doa tasyahud, tentang bacaan Al-Qur'an, apakah pahalanya sampai kepada mayat atau tidak, juga tentang halaqoh-halaqoh yang diadakan oleh ahli tariqat dan sebagainya lagi. Utamakan perpaduan, jangan menghabiskan masa dan tenaga menuduh sesat, bidaah dhalalah, syirik dan sebagainya ke sana ke mari kerana dalam masa yang sama musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan untuk membaham kita. Apabila kawanan kambing bergaduh sesama sendiri, maka lebih mudahlah kawanan serigala menyerbu mencari mangsa.
Fikirkan, kalau dalam masalah pokok iaitu solat itu pun kita masih tidak boleh menuduh sesama sendiri, apatah lagi dalam permasalahan lain seperti tahlil, kenduri arwah, zikir selepas solat, bacaan surah Yaasin pada malam Jumaat, menyambut Maulidurrasul, talkin dan sebagainya. Tidak ada orang Islam yang benar-benar beriman yang sanggup untuk mengatakan salah kepada mana-mana pihak sama ada yang menerima atau yang menolak sebagaimana kisah solat Mazhab Syafie dan mazhab Hanafi tadi.


IKHWAN SELEPAS AL-BANNA

Pada tahun 1950, Ikhwan dibolehkan semula untuk bergerak, namun hanya sebagai pertubuhan agama. Hassan al-Hudaibi telah dipilih sebagai Mursyidul Am Ikhwan yang kedua. Dengan munculnya regim yang baru di Mesir pada 1952 dan Mesir diketuai oleh Presiden Gamal Abdul Nasser, Ikhwan terpaksa bergerak secara ‘bawah tanah’ dan diharamkan semula kerana mendesak perlaksanaan undang-undang syari’ah, dan menentang undang-undang sekular. Tuduhan cubaan untuk membunuh Gamal Abdul Nasser di Iskandariah pada 23 Oktober 1954, telah menyebabkan Ikhwan berada di bawah tekanan yang hebat. Enam pemimpin utamanya telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman kerana menderhaka, dan ramai lagi telah dipenjara.

Pada tahun 1966, pemimpin-pemimpin utama Ikhwan telah dijatuhkan hukuman mati (seperti Sayyid Qutb) atau penjara seumur hidup, serta beribu-ribu lagi pemuda-pemudi Ikhwan dipenjarakan. Pada 1970, pengganti Gamal, Anwar Sadat (bekas ahli Ikhwan – pengkhianat), menjanjikan perlaksanaan syari’ah (yang tidak pernah ditunaikan) dan membebaskan ramai ahli-ahli Ikhwan. Namun Ikhwan tidak dibenarkan menyertai pilihanraya pada tahun 1974, menyebabkan Ikhwan bertanding sebagai calon bebas. Mereka memenangi 15 kerusi.

Pada September 1981, sekali lagi ahli-ahli Ikhwan ditangkap. Hampir 2000 orang dipenjara, kerana menentang perjanjian damai Camp David antara Mesir dan Israel. Anwar Sadat akhirnya dibunuh pada 6 Oktober 1981.

Pada tahun 1980an, Ikhwan telah mengalami pembaharuan, selaras dengan semangat keIslaman yang meluap-luap di negara-negara Islam. Pelapis-pelapis baru Ikhwan mempunyai matlamat untuk menyusun masyarakat dan pemerintahan menurut ajaran Islam sebenar, dan mereka mempunyai semangat anti-Barat yang tebal. Kebangkitan Ikhwan di Bandar Hamah, Syria pada Februari 1982 telah dijatuhkan oleh kerajaan Hafiz al-Assad dengan kematian beribu-ribu nyawa. Ikhwan telah bangkit di Mesir dan Jordan pada masa yang sama, dan bermula pada akhir 1980an, Ikhwan muncul untuk bertanding secara sah dalam pilihanraya di negara-negara tersebut.

FIKRAH IKHWAN

Sesuatu pertubuhan yang dikatakan Gerakan Islam hendaklah mendukung ajaran Islam yang syumul. Sekiranya hanya bertujuan untuk satu-satu tujuan sahaja, seperti da’wah semata-mata, ia bukanlah sebuah Gerakan Islam. Ikhwanul Muslimin, sebagai Gerakan Islam, mencakupi :

Da'wah Salafiah
Kerana mereka menda'wahkan agar Islam dikembalikan kepada sumbernya yang suci iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya

Tariqat Sunniah
Kerana mereka mewajibkan menjalankan sunnah Rasulullah SAW yang suci dalam semua hal, terutama dalam bidang aqidah dan ibadah, selama mereka mampu melakukannya

Hakikat Sufiah
Kerana mereka memahami, bahwa asas kebaikan adalah kebersihan jiwa, kesucian hati, istiqamah dalam beramal, menjauhi keduniaan, kasih sayang karena Allah dan selalu terikat dengan kebaikan

Haiah siasiah (Pertubuhan Politik)
Kerana mereka menuntut agar dilakukan perbaikan terhadap hukum pemerintahan dalam negeri. Sedangkan mengenai hubungan luar negeri, mereka menuntut agar pemerintah mengubah pandangannya terhadap masalah hubungan kaum muslimin dengan ummat Islam lainnya. Mereka juga menuntut agar bangsa muslim dididik dengan penuh 'izzah'(kebanggaan) dan kemuliaan diri dan seboleh mungkin memperhatikan golongan ummat Islam

Jama'ah Riyadhiah (Kumpulan Jasmani):
Kerana mereka sangat memperhatikan keadaan jasmani mereka. Mereka memahami bahwa mu'min yang kuat itu lebih baik dari mu'min yang lemah. Mereka mengetahui bahwa Rasulullah SAW telah bersabda: 'Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu'. Mereka juga mengetahui bahwa semua beban Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan benar kecuali dengan tubuh yang kuat. Solat, puasa, haji dan zakat memerlukan badan yang mampu menahan lelah. Demikian pula halnya dengan berusaha dan berjuang mencari rezeki. Dengan alasan inilah, mereka sangat memperhatikan fizikalnya dan dan sentiasa menjalani latihan jasmani, seperti tamrin dan kem

Rabithah ilmiyah tsaqafiyah (Ikatan ilmiyyah)
Kerana Islam telah memerintahkan bahawa menuntut ilmu wajib atas setiap muslim dan muslimah. Dan pada hakikatnya kelompok-kelompok Ikhwan merupakan sekolah-sekolah dan usrah-usrah yang bertujuan belajar dan mencari ilmu pengetahuan. Di samping itu, juga sebagai akademi akademi pendidikan jasmani, akal dan ruh

Syirkah Iqtishadiyah (Usaha-Usaha Ekonomi)
Sebab Islam memperhatikan hal perolehan harta dan penggunaannya. Seperti yang dinyatakan Rasulullah SAW : "Harta yang paling nikmat adalah harta yang baik yang dipegang oleh seorang yang soleh'. Selanjutnya beliau bersabda: 'Barang siapa yang hidup sampai petang bekerja dengan tangannya, dia akan berada dalam keampunan". Sabdanya lagi: 'Sesungguhnya Allah mengasihi Mu'min yang punya pekerjaan"

Fikrah Kemasyarakatan
Kerana mereka memperhatikan penyakit-penyakit masyarakat Islam, dan berusaha mencari jalan penyembuhan ummat dari penyakit tersebut

Menurut pandangan al-Banna, pembentukan Daulah Islam hendaklah dimulai dengan pembentukan peribadi-peribadi muslim (syahsiyah Islamiyah), kemudian pembentukan keluarga-keluarga muslim (usrah muslimah), setelah itu akan terbentuk masyarakat Islam (ijtima’iyah Islam).
“Kalau setiap orang sudah menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya, secara automatik negara Islam akan berdiri dengan sendirinya.”
Demikianlah ucapan yang sangat terkenal daripada Hasan Al Banna.


MURSYIDUL AM IKHWAN

Antara Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang terawal ialah :
i) al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna
ii) Hassan al-Hudaibi
iii ) Umar at-Tilmissani
iv ) Muhammad Hamed Abul-Nasr
v ) Mustafa Masyhur

BEBERAPA TOKOH IKHWAN LAIN

As-Syahid Sayyed Qutb (Mesir)
As-Syahid Abdul Qader 'Audah (Mesir)
Sheikh Mustapha Al-Siba'yi (Syria)
Sheikh Yusuf Al-Qaradawi (Qatar)
Sheikh Sa'eed Hawwa (Syria)
As-Syahid Abdullah 'Azzam (Palestine – syahid di Afghanistan)
Sheikh Muhammad Ahmad Al-Rashid (Iraq)
Sheikh Abdul-Fattah Abu Ghuddah (Syria)
As-Syahid Sheikh Ahmad Yaseen (Palestine – mengasaskan HAMAS)
Sheikh Sayed Sabiq (Mesir)
Sheikh Muhammad Al-Ghazaly (Mesir)
Rached al-Ghannoushi
Mahmouz al-Nannah
Fathi Yakan (Lubnan)
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah
Muneer al-Ghadban
Syeikh Abdul Majeed al-Zindanee
Syeikh Muhammad Mahmud Shawwaf (Iraq)
Syeikh Abdul Latif Abu Qurrah

BEBERAPA KISAH IKHWAN

@ Kisah daripada al-Banna :
Pada satu hari, saya melawat akhi Sayyed Abus Su’ud di kedainya dan melihat akhi Mustafa Yusuf membeli sebotol minyak wangi daripadanya. Mustafa berkeras untuk membayar 10 piaster (matawang) untuk minyak wangi tersebut, sedangkan Abus Su’ud mengatakan harganya hanya 8 piaster. Kedua-duanya tidak mahu mengalah. Saya amat terharu melihatkan keadaan ini, dan meminta invois daripada Mustafa untuk melihat harga modal minyak wangi tersebut. Harganya 96 piaster untuk satu dozen, bererti 8 piaster untuk satu botol.

Saya berkata kepada Abus Su’ud, “Saudaraku! Bagaimana anda ingin menyara hidupmu, sedangkan anda tidak mahu mengambil untung dari saudaramu, dan musuh pula tidak mahu membeli di kedaimu?”. Dia menjawab, “Aku dan saudaraku seperti badan yang satu.” Saya berkata pula kepada Mustafa, “Mengapa anda tidak menerima budi baik saudaramu?” Dia menjawab, “Jika saya membeli di tempat lain, harganya ialah 10 piaster, jadi adalah lebih baik saya membayar harga yang sama kepada saudaraku!”. Akhirnya mereka bersetuju dengan harga 9 piaster.

@ Di satu pusat latihan Ikhwan bagi melatih sukarelawan-sukarelawan yang ingin berjihad di Palestin pada tahun 1947, seorang ahli Ikhwan, yang merupakan seorang petani, datang untuk mendaftar dan membawa bersamanya seekor lembu. Ahli Ikhwan yang bertugas di pusat pendaftaran amat terkejut, dan bertanya, “Saya faham yang anda ingin menyertai angkatan mujahidin, tetapi kenapa anda membawa lembu bersama?”

Dia menjawab, “Tidakkah Allah memerintahkan kita untuk berjihad di jalan-Nya dengan nyawa dan juga harta benda? Lembu ini sahajalah harta yang saya ada!”.

@ Akhi Hafizh merupakan seorang tukang kayu. Pada suatu hari, dia diminta oleh Monsieur Saulant, seorang Pegawai Tinggi Terusan Suez yang berasal dari Perancis, untuk membaiki perabot di rumahnya. Pemuda itu menyebut kos membaiki sebanyak 130 qirsy. Monsieur berkata, ''Itu terlalu mahal. Penjahat kamu mengambil upah melebihi hakmu!'' Dengan tenang, Hafizh menjawab, ''Saya tak akan mengambil upah melebihi hakku. Kalau tak percaya tanya saja orang bawahan anda. Kalau ternyata tuduhanmu benar saya bersedia bekerja tanpa dibayar. Namun, jika saya yang benar, anda bayar upah sebanyak yang saya minta, tanpa harus ditambah.'' Ternyata, menurut orang bawahan, Hafizh berhak atas upah 200 qirsy. Maka, dia pun menyuruh Hafizh memulakan pekerjaannya.

''Baik, tetapi anda telah menghinaku. Maka, anda harus minta maaf dan mencabut kata-kata itu," kata Hafizh. ''Minta maaf padamu? Kamu ingat kamu siapa? Seandainya Raja Fuad pun, saya tak akan minta maaf,'' jawab si Perancis dengan bongkak. ''Kalau saya tak meminta maaf, apa yang boleh kamu lakukan?"

''Mudah saja. Saya laporkan anda ke kedutaan dan konsulat anda. Saya juga boleh laporkan ke media massa Perancis. kemudian saya umumkan juga di jalan-jalan dan kedutaan-kedutaan asing yang lain. Saya akan berjuang mendapatkan hakku dengan apa cara pun,'' katanya tegas.

Monsieur Saulant terkejut mendengar jawaban tukang kayu itu. ''Seolah-olah saya sedang bicara dengan seorang diplomat, bukan tukang kayu.'' Akhirnya dia meminta maaf dan menarik balik tuduhannya. Apabila selesai Monsieur membayar lebih, 150 qirsy. Tetapi, Hafizh tidak mahu menerima tambahan. Dia mengembalikan 20 qirsy. ''Saya tidak mahu ambil apa yang bukan hakku, supaya tidak jadi penjahat!'' Monsieur kehairanan. ''Mengapa tidak semua buruh Arab sepertimu. Kamu keluarga Muhammad, ya?''

''Monsieur Saulant, ketahuilah semua muslim adalah keluarga Muhammad. Namun, kebanyakan mereka telah bergaul akrab dan meniru monsieur-monsieur seperti kamu, akibatnya rosaklah akhlak mereka.''

PENUTUP

Berpandukan kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin inilah munculnya Gerakan-Gerakan Islam yang lain di setiap watan (negara) Islam di seluruh dunia. Begitulah buah tangan seorang mujaddid, ia pasti akan menular ke seluruh dunia. Antaranya ialah Jami’at E Islami (Pakistan – diasaskan oleh Sayyid Abul A’la al-Maududi), Parti Refah (Turki – diasaskan oleh Najmuddin Erbakan, telahpun diharamkan dan beliau telah dipenjara. Parti AK yang memerintah Turki pada hari ini, yang diketuai oleh Recep Tayyip Erdogan, ialah hasil tarbiyyah Najmuddin), FIS – Front Islamique du Salut (Algeria – memenangi pilihanraya pada 1990, namun dijatuhkan oleh kuasa tentera, beribu-ribu ahli dibunuh dan dipenjara), HAMAS - Harakah Muqawwamah Islamiah (Palestin) dan Gerakan-Gerakan Islam lain yang diasaskan berdasarkan ideologi Ikhwan.

Gerakan-gerakan ini bergerak serentak di seluruh dunia, mengharungi cabaran mengikut keadaan dan suasana di watan masing-masing, namun mempunyai wihdatul fikr dan wihdatul amal yang satu. Muktamar di peringkat antarabangsa sering diadakan dan Gerakan-gerakan Islam kini bergerak untuk menegakkan khilafah dan membebaskan bumi Islam dari musuh kuffar dan juga yang bertopengkan Islam.

1. ALLAH MATLAMAT KAMI
2. RASULULLAH PEMIMPIN KAMI
3. AL QURAN PERLEMBAGAAN KAMI
4. JIHAD JALAN KAMI
5. MATI SYAHID CITA-CITA KAMI YANG TERTINGGI
10 WASIAT HASSAN AL-BANNA (Ringkasan)
1. Apabila terdengar azan, segeralah mendirikan solat.
2. Rajin-rajinlah membaca al-Quran, buku-buku, dengar perkara yang baik-baik, berzikir dan jangan membuang masa.
3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana itulah syiar Islam.
4. Kurangkanlah pertengkaran kosong.
5. Kurangkanlah ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu pastinya selalu tenang lagi tenteram.
6. Kurangkanlah bergurau kerana umat yang sedang dalam perjuangan itu pastinya berkeadaan bersungguh-sungguh.
7. Berbicaralah dalam nada suara yang sederhana, yang diperlukan oleh pendengar agar tidak sia-sia atau menyakiti hati orang lain.
8. Jangan mengumpat.
9. Mudahkan diri untuk berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Bijaklah menggunakan masa kerana kerja kita lebih banyak daripada masa yang ada.
SOALAN-SOALAN PEMAHAMAN
Siapakah Hassan al-Banna?
Pengasas Ikhwanul Muslimin, juga Mujaddid kurun ke-14 Hijrah.

Bilakah Hassan al-Banna dilahirkan?
1906 di Mahmudiah dekat Iskandariah, Mesir.

Apakah pekerjaan bapanya?
Tukang jam. Juga imam dan guru al-Quran.

Bilakah Khilafah Islamiyyah jatuh?
1924

Bilakah Ikhwanul Muslimin ditubuhkan?
1928 di Mesir.

Siapakah penyusun al-Ma’thurat?
Hassan al-Banna.

Apakah organisasi yang pernah dianggotainya?
Persatuan Akhlak Mulia
Gerakan Anti-Maksiat

Apakah tariqat yang pernah diikutinya?
Tariqat Hasafiah

Apakah kebolehannya?
Hafaz al-Quran, ribuan hadith dan 18,000 bait puisi Arab.

Siapakah tokoh-tokoh yang pernah mendapat perhatiannya?
Syeikh Abdul Wahhab al-Hasafi (syeikh Tariqat Hasafiah)
Syeikh Muhammad Abduh
Rashid Rida

Apakah pekerjaan Hassan?
Guru bahasa Arab.

Berapa usianya ketika dia mula mengajar?
21 tahun di Ismailiyyah

Dimanakah Hassan memulakan dakwahnya?
Di kedai-kedai kopi.

Bagaimanakah Hassan syahid?
Dia telah ditembak, dibiarkan di hospital tanpa rawatan dan hanya boleh dikebumikan oleh anggota keluarganya sahaja.

Apakah pandangan Hassan tentang masalah khilafiyyah seperti tawasul, saidina, tahlil arwah dan lain-lain?
Sama seperti bacaan al-Fatihah makmum bermazhab Hanafi dan makmum bermazhab Syafie, dua-dua betul- tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak.









PENTING- Salafi & Wahabi yang dimaksudkan di sini hanyalah Salafi & Wahabi ekstrim- iaitu yang menghukum berdosa kepada amalan-amalan umat Islam seperti sedekahkan manfaat kepada orang yang telah mati, menyambut Maulidurrasul, berkenduri arwah dan seumpamanya. Salafi & Wahabi yang tidak menghukum berdosa ke atas amalan-amalan tersebut tidaklah termasuk. HARAP MAKLUM.